Perbezaan antara Saifuddin Nasution dan Ahmad Fadhli Shaari
APAKAH bezanya antara dua parti dan dua ahli politik, satu dari PKR dan seorang lagi dari parti Islam, PAS?
Dalam isu kewarganegaraan, terutama sekali untuk anak-anak yang dilahirkan di Malaysia tanpa status kewarganegaraan, jelas ternampak perbezaan di antara YB Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari.
Kebanyakan kes ini bukannya mereka yang datang dari luarnegara tetapi anak-anak yang lahir di Malaysia, dan atas sebab kelalaian ibubapa mereka, anak-anak ini tidak mempunyai status kewarganegaraan di negara di mana mereka dilahirkan.
Kelalaian ibubapa serta perbuatan zina mereka ini memang salah di sisi undang-undang, tetapi kenapakah anak-anak yang tidak memilih untuk dilahirkan mengalami kesukaran untuk mendapat kewarganegaraan untuk terus hidup seperti orang lain serta menyumbang kepada pembangunan negara?
Di sini isunya adalah politik bukannya isu negara tidak cukup pekerja. Yang dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia tidak dapat mencari kerja atau mempunyai akaun bank, sedangkan yang datang dari luar negara untuk bekerja di sini dapat menjalankan perniagaan atas nama Ali Baba bin Abu. Adakah ini adil?
Seperti isu perniagaan oleh warga asing dengan bantuan Ali Baba bin Abu, isu kewarganegaraan memang tidak ditangani oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini. Saifuddin Nasution adalah menteri dalam negeri yang pertama benar-benar cuba menyelesaikan masalah status orang yang tidak ada kewarganegaraan.
Antara Saifuddin Nasution dan Ahmad Fadhli Shaari
Baru-baru ini, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang Andrew Chen cuba mengadakan satu "taklimat untuk menangani isu individu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa dan sebab-sebab lain."
Walaupun tidak seorang pun yang berkata bahawa ADUN tersebut mempunyai kuasa untuk memberi status kewarganegaraan kepada orang tempatan yang tidak ada status kewarganegaraan di negara mereka sendiri, Ahmad Fadhli buat kecoh dan laungkan pelbagai kecaman sehingga taklimat tersebut ditangguhkan.
Sifat beliau yang amat bahaya ini harus dibedung kerana mengacau ketenteraman seorang ADUN yang dipilih oleh rakyat dari melaksanakan tugasan beliau yang cuba membantu orang yang tidak ada status kewarganegaraan ini.
Sebenarnya tidak ada sebab mengapa ADUN tersebut perlu menangguhkan taklimat tersebut. Dalam situasi sebegini ini, pihak polis seharusnya dapat mengawal situasi dari terus berleluasa. Polis perlu mengeluarkan amaran tegas terhadap sesiapa yang cuba membuat kekecohan sehingga taklimat tidak dapat dijalankan dengan licin.
Lagipun, ADUN tersebut cuba membantu mereka yang betul-betul memerlukan bantuan. Mereka yang berfikiran waras tidak akan langsung percaya terhadap tohmahan Fadhli kerana semua orang tahu bahawa kuasa memberi kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di Malaysia adalah di dalam tangan kerajaan dan bukannya parti politik.
Saya amat bangga melihat Saifuddin Nasution mempertahankan taklimat tersebut.
Cuba Kamu Bezakan Sendiri
Kedua-duanya Melayu yang beragama Islam. Seorang cuba membantu mereka yang tidak berkewarganegaraan, sementara yang seorang lagi kecoh serta membuat pelbagai tohmahan yang bukan-bukan.
Seorang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang cuba menegakkan keadilan untuk setiap manusia, samada mempunyai status kewarganegaraan atau tidak.
Seorang lagi dari PAS yang sepatutnya mencerminkan kemurnian agama Islam, tetapi di sebaliknya menyebabkan ramai di kalangan bukan Islam sekarang tidak lagi menyokong calon-calon dari parti tersebut seperti di zaman Tok Guru Nik Aziz Nik Mat.
Sebenarnya tugas yang dilakukan oleh ADUN Stualang tersebut adalah amat penting kerana ramai di kalangan anak-anak yang tidak ada kewarganegaraan ini adalah saudara-mara pengundi-pengundi di Stualang.
Dan, sepatutnya, Ahmad Fadhli seharusnya membantu ahli-ahli parlimen dari Kelantan di mana masalah ramai yang tidak ada kewarganegaraan di situ juga harus diselesaikan secepat mungkin dengan bantuan YB Menteri yang lebih prihatin terhadap anak-anak yang tidak ada status kewarganegaraan.
Saifuddin mencerminkan Islam yang lebih berperikemanusian, dan tindakan beliau membantu orang yang tidak ada status kewarganegaraan perlu dipuji oleh setiap rakyat sekalian.
Inilah perbezaan di antara dua parti yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Hadi Awang. Kamu pilihlah siapa kamu ingin undi pada Pilihanraya Umum ke16 kelak.
Comments
Post a Comment