Pemikiran cetek sesetengah ahli politik benar‑benar mengejutkan saya
![]() |
| Videonya di bawah |
Memang saya berniat untuk meluahkan pandangan saya apabila saya terbaca banyak komen dari ahli-ahli politik, terutama sekali yang bernama Dr Akmal Salleh berkenaan dengan Undi Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dicadangkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh.
Pada pandangan saya, Akmal Salleh ini seharusnya menggunakan akal apabila bercakap, kerana ini menyebabkan orang bukan UMNO tidak menyukai kata-kata beliau. Dari masa ke semasa, walaupun tidak ada masalah besar, tetapi apabila dibangkitkan oleh beliau, maka ianya menjadi isu politik yang seolah-olah amat besar. Semua ini semata-mata untuk mendapat sokongan dari kaum Melayu yang saya percaya selama ini sudahpun menolak parti UMNO.
Sebenarnya bukan semua orang yang setuju dengan undi di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), tetapi kerana ini dibawakan oleh sesetengah grup, maka sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah terpaksa membawakan usul-usul ini untuk dikaji. Padahal saya sendiri pun pernah memberitahu beliau bahawa Undi PBT itu akan membuka peluang kepada mereka yang mempunyai dana besar untuk mendapat sokongan dipilih menjadi Datuk Bandar.
Laporan China Press hanya setakat menyebut bahawa Hannah akan membuat kajian berkenaan dengan kebolehlaksanaan pilihan raya datuk bandar, dengan menyatakan ia lebih praktikal berbanding memilih ahli majlis DBKL melalui pilihan raya kerajaan tempatan.
Yang saya nampak adalah seolah-olah Akmal tanpa dijemput sudah mula menjadi seperti murai dicabut ekornya. Akhbar Malaysiakini melapurkan, "Parti politik Melayu berhaluan kanan sejak sekian lama menolak pilihan raya kerajaan tempatan, atas dasar ia akan menghakis kuasa Melayu di kawasan bandar yang majoriti pendudukanya adalah bukan Melayu."
Apa yang disebutkan oleh Akmal ini berunsurkan 3R lagi: "Sebagaimana kita tolak dan gagalkan cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum ini, begitulah juga kita harus menolak dan menggagalkan rancangan mereka kali ini. Kita sibuk bergaduh sesama kita kerana kuasa, mereka bersatu kerana kuasa. Sedarlah wahai saudaraku,” katanya, yang jelas merujuk politik Melayu dan bukan Melayu."
Saya Cina tapi saya tegur ahli politik DAP juga, terutama sekali di Selangor, apa salahnya? Saya juga tegur ahli politik dari parti lain. Saya puji seorang Datuk Bandar jika beliau dapat menyelesaikan masalah rakyat, tapi tegur seorang YDP yang saya lihat kurang prihatin dengan masalah yang saya bangkitkan. Kerana semua teguran saya adalah berdasarkan kepentingan rakyat jelata, yang seharusnya disamakan sebagai padi di sawah seperti dalam peribahasa, “ Harapkan pagar, pagar makan padi.”
Ini bermakna Akmal jangan bertubi-tubi nak menggagalkan semua cadangan yang dibawakan oleh parti lain, malah setiap inisiatif walaupun oleh DAP sepatutnya diberi sokongan penuh oleh Akmal bila iannya membawakan manfaat kepada rakyat dalam golongan B40 dan M40. Usul-usul yang membawakan rezeki itu tidak seharusnya ditolak sama sekali oleh Akhmal Salleh tanpa berfikir panjang.
Misalannya, PCB itu mempunyai niat yang baik, tetapi sebelum ianya diperbahaskan secara matang untuk memperbaiki rang undang-undang tersebut, ianya sudah ditendang oleh jaguh kampung. Strategi itu membawa buruk padahnya kepada bukan saja Melayu tapi kaum India, Dayak, Kadazan, Serani mahupun Cina dalam kategori B40.
Lagipun, Akmal sepatutnya buat kerja rumahnya sebelum riuh sekampung. Apa yang dibimbangkan itu adalah hanya setakat imaginasi beliau yang suka memainkan sentimen anti-DAP dan anti-bukan Melayu, sedangkan ramai di antara rakyat Malaysia pelbagai kaum tidak ada pun masalah bergaul sesama sendiri.
Kalau kajian itu dibuat oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, lagipun ianya adalah atas arahan mantan Menteri Persekutuan Datuk Seri Dr Zaliha Ismail, sekarang adakah Akmal masih tidak meminta maaf dan teruskan teriakan beliau? Adakah Akmal bersyukur kepada Dr Zaliha kerana beliau juga Melayu atau adakah Akmal akan mengutuk pula Dr Zaliha kerana beliau dari parti PKR? Hanya dua pilihan saja; jika sunyi saja bermakna Akmal tidak memegang kepada prinsip jaga rakyat tapi hanya main politik untuk mendapat sokongan rakyat semata-mata. Betul tak Dr Akmal? Sebelum ini pun saya seorang rakyat bangsa Malaysia dari kaum Cina pernah memuji Dr Akmal dan Menteri Besar Johor , Dato' Onn Hafiz Ghazi, kedua-duanya Melayu dan ahli politik UMNO apabila melihat video mereka tapi saya tarik pujian saya terhadap Akmal.
Kalau nak bermain politik, janganlah sampai nak bertumbuk dengan pemimpin dalam parti sendiri, siapa lagi percaya pemimpin politik sebegini dan kalau masuk pun dalam parlimen, mungkin perkara yang tidak diingini boleh berlaku. Seluruh dunia mungkin akan dapat lihat dalam media mereka. Insaflah Dr Akmal Salleh!
Berbalik kepada PCB, kegagalan melaksanakan rang undang-undang ini bermakna ramai dalam golongan B40 akan terus hidup dalam keadaan perumahan yang kotor dan menjijikkan.
Adakah Akmal Salleh rela hidup dalam rumah pangsapuri sebegini? Cuba pakai akal sedikit, Akmal Salleh, jangan hanya cuba menentang segala-gala cadangan yang diberikan oleh parti DAP. Apabila ini berlaku, ini bermakna UMNO tidak akan diterima langsung, sedangkan pengundi-pengundi bukan Melayu dan Melayu bandar akan terus menyokong parti Keadilan, Amanah mahupun parti DAP menyebabkan ada juga antara mereka ini sudah menjadi terlalu bongkak.
Sebenarnya samada Datuk Bandar itu bangsa India, Dayak, Kadazan, mahupun Cina, apa salahnya kalau beliau menjalankan tugasnya dengan penuh berwibawa? Setakat saya, Datuk Bandar dari kaum Melayu yang menjalankan tugasnya dengan prihatin, saya akan terus memuji tanpa mengira kaum atau agama.
Satu contohnya adalah Datuk Zahri Samingon, Datuk Bandar Petaling Jaya, yang sering saya angkat sebagai tauladan untuk semua Yang Di-Pertua majlis-majlis lain. Yang pentingnya adalah prestasi kerja, bukan kaum atau agama, kerana bangsanya pun warga Malaysia.
Bukannya saya menyokong DAP atau Hannah Yeoh, tapi beliau hanya setakat menyebut 'kajian.' Saya percaya Akmal Salleh ini tidak langsung menyemak kamusnya apa ertinya kajian.
Padahal saya sendiri pun ada memberi pandangan saya kepada Hannah bahawa apa sistem pemilihan pun memang tidak akan menyelesaikan masalah jika seseorang Datuk Bandar yang dilantik mahupun diundi itu tidak menjalankan kerjanya dengan baik. Berapa ramai wakil rakyat yang betul-betul berjiwa rakyat? Boleh kira, samada dari parti kerajaan mahupun pembangkang.
Saya memberi contoh daripada kajian saya berkenaan dengan masalah korupsi bahawa di zaman dinasti-dinasti negeri China silam, apabila sesebuah dinasti mengambilalih kerajaan pusat, ia akan cuba mengubah suai serta memperbaiki sistem pentadbiran sebelumnya. Experimen ini semuanya gagal untuk mengawal masalah korupsi di antara pegawai-pegawai kerajaan pada waktu itu.
Dinasti terakhir iaitu Dinasti Qing mempunyai sistem pemilihan pegawai kerajaan yang paling baik sekali, iaitu seseorang yang mempunyai pendidikan tinggi akan diberi peluang berkhidmat untuk satu jangkamasa tertentu di sebuah kawasan luarbandar. Jika prestasi pekerjaannya bagus, pegawai tersebut akan dinaikkan pangkat.
Namum Zaman Dinasti Qing jugalah yang paling korup sekali di mana pegawai-pegawai ini mula meminta rasuah. Adakah ini menunjukkan kaum Cina korup? Tidak sama sekali, kerana manusia semuanya sama dengan hati yang tamak, tidak kira bangsa mahupun harap pendidikan, korupsi itu akan menyelubungi hati seseorang apabila wujud sifat tamak.
Kerana ini, Akmal Salleh seharusnya menyokong kerajaan Madani dengan sepenuhnya kerana Perdana Menterinya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertekad untuk membersihkan pentadbiran kerajaan daripada rasuah, dan tidak memainkan politik berunsurkan perkauman.
Negara ini sudahpun mengharungi satu ketika selama 60 tahun ini di mana rasuah telah hampir menjatuhkan ekonomi negara ini serta membawakan rasa malu setiap rakyat Malaysia apabila berada diluar negara. Hari ini, ramai di antara rakan-rakan saya dari luar negara memuji apa yang mereka nampak dalam polisi yang dibawakan oleh perdana menteri kita, seorang Melayu yanf saya puji sedangkan saya seorang Cina.
Dan walaupun Ahli Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi adalah dari parti yang sama dengan Akmal Salleh, saya memang setuju dengan Puad bahawa "pilihan raya datuk bandar bukan sahaja akan dipengaruhi kaum, tetapi juga dunia jenayah." Sebenarnya walaupun dipilih sebagai Datuk Bandar, sekiranya ada bukti-bukti yang kukuh, pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mahupun Polis boleh bertindak bila-bila masa, jadi ini pun bukan satu hujah yang kukuh. Lagipun kalau sesebuah bandar di mana majoriti penduduknya adalah dari satu kaum, ia menjadi satu penghargaan terbesar apabila seorang datuk bandar dipilih untuk memimpin dan mentadbir dengan baik. Sebagai contoh, presiden Singapura sekarang adalah seorang presiden wanita dari kaum monoriti Melayu.
Kegagalan sesebuah demokrasi bukan kerana undi majoriti tetapi undi ikut sentimen kaum atau parti tanpa melihat kepada kebolehan seseorang itu.
Yang perlu dielakkan itu adalah untuk memberi peluang kepada mereka dari kongsi gelap mahupun kartel untuk mencari peluang menggunakan kerusi datuk bandar untuk aktiviti-aktiviti mereka, dan bukannya menggunakan isu perkauman seperti yang dilaung-laungkan oleh sehingga kini.
Ini kerana tujuan mereka yang ingin adakan pilihanraya PBT mahupun undi Datuk Bandar ini adalah semata-mata untuk memastikan Datuk Bandar yang dilantik akan mendengar masalah-masalah yang dikongsikan kepada wakil-wakil rakyat di Wilayah Persekutuan.
Ada antara datuk bandar yang saya kenali itu memang tidak langsung ingin menyelesaikan masalah-masalah penghuni-penghuni bandar. Itulah sebabnya keadaan Bandar Kuala Lumpur yang pesat membangun ini masih mempunyai fasiliti abad ke20 sedangkan kita sudah melangkah ke tahun 2026.
Faham, Amal Salleh?


Comments
Post a Comment