Pembakaran Kitab Suci Perlu Dikenakan Tindakan Tegas
Rakyat Malaysia yang beragama Islam tergores hati kerana seorang ahli politik di Sweden membakar kitab suci Al-Quran.
Di negara Barat, mereka tidak ada undang-undang yang melarang perbuatan keji seumpama ini. Itulah sebabnya kerajaan Sweden sehingga hari ini enggan mengambil tindakan terhadap ahli politik tersebut.
Sejurus kemudian, satu pula kumpulan cuba membakar kitab Torah, kitab suci orang Yahudi. Tujuan mereka hanya setakat menunjukkan betapa hipokritnya kerajaan Sweden untuk membenarkan Rasmus membakar Al Quran di depan Kedutaan Turki.
Sebenarnya bakar-membakar kitab suci agama orang lain sudah kerap berlaku di dunia yang pelbagai agama dan bangsa.
Misalannya, sebagai seorang Kristian, saya juga mengecam pastor yang ingin membakar Al Quran secara terbuka. Perbuatan keji ini perlu dikecam sekuat-kuatnya. Mengikut akhbar CNN, ramai juga ahli-ahli politik negara tersebut yang keluar mengecam hasutan pastor tersebut.
Dulu semasa presiden Perkasa, Ibrahim Ali juga pernah menghasut akan membakar Alkitab suci orang Kristian. Undang-undang memang ada di bawah Akta Hasutan tetapi mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri yang mengatakan perkara itu bukannya hasutan. Sekarang Dr Mahathir sudah menerima padahnya.
Di sebaliknya seorang pengarang Aliran bernama Syerleena Abdul Rashid, seorang Melayu beragama Islam, mempertikaikan bahawa ini adalah satu hasutan yang dibawa oleh Ibrahim Ali ke aliran media utama. Bukan semua orang Melayu seperti Dr Mahathir atau Ibrahim Ali.
Jelas kelihatan bahawa dalam setiap negara ada yang ektremis dalam bidang politik dan agama, dan perbuatan keji mereka perlu dikecam sekuat-kuatnya, samada mereka perdana menteri atau rakyat biasa. Undang-undang perlu diluluskan di Sweden, dan di Malaysia, Akta Hasutan perlu digunakan untuk mengawal tercetusnya sebarang hasutan yang boleh merosakkan keharmonian di negara ini.
Fahami Siapa Dia Rasmus
Kita perlu faham siapa dia Rasmus. Mengikut apa yang saya baca, Rasmus itu seorang ekstremis paling kanan yang tidak pedulikan perasaan orang lain.
Seseorang yang mempunyai agama ataupun percaya kepada Tuhan tidak akan berbuat demikian, tetapi ramai di zaman ini terutama sekali di Eropah dan Amerika Syarikat tidak lagi percaya wujudnya Tuhan.
"A Danish-Swedish far-right extremist known for spreading anti-Muslim hatred burned a copy of the Holy Quran in front of the Turkish embassy in Stockholm on January 21 under the protection of Swedish police." (Petikan dari akhbar TRT World)
Rasmus juga seorang ahli politik. Kerana wujudnya ramai di kalangan orang Eropah yang sekarang sudah menjadi atheist, maka Rasmus mengambil kesempatan untuk meraih undi. Entah samada negara Sweden akan mengadakan pilihanrayanya dalam masa tersingkat.
Ini adalah perangai ahli-ahli politik yang memainkan isu perkauman dan agama. Mereka kurang peka perasaan minoriti yang tergores hati mereka dengan ayat-ayat yang kesat. Salah satu sebab Muhyiddin Yasin ditolak oleh rakyat Sabah dan Sarawak selepas sahaja Pilihanraya Umum ke15 adalah kerana beliau menggunakan isue agama untuk mendapat undi Melayu Islam.
Saya berharap rakan-rakan saya yang beragama Islam sekarang sedar betapa tergoresnya hati orang bukan Islam di Malaysia apabila agama mereka disindir atau dicela oleh ahli-ahli politik yang cuba meraih undi dengan menggunakan sentimen kaum dan agama.
Walaupun undang-undang di negara ini memang ada untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menggores hati orang bukan Islam, tetapi adakah tindakan tegas diambil selama ini?
Berbanding dengan Muhyiddin, ramai di kalangan orang bukan Islam sokong Anwar Ibrahim kerana beliau lebih inklusif dari segi pandangan beliau. Beliau menunjukkan bahawa beliau seorang Perdana Menteri untuk semua. Walaupun dana negara terhad, dana juga disalurkan ke negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu, serta ke Sabah dan Sarawak.
Ramai di kalangan rakyat Malaysia juga bersetuju bahawa isu korupsi dan kronisim telah pun menjahamkan negara, dan masanya sudahpun tiba untuk membina balik negara ke tahap prestasi setanding dengan negara Indonesia kini.
Persefahaman yang dicapai Anwar dalam lawatannya ke Indonesia baru-baru ini harap dapat mengeratkan lagi pertalian di antara Indonesia dan Malaysia.
Malaysia Perlu Mara Ke Hadapan
Dalam pandangan orang luar, negara Malaysia terlibat dalam skandal 1MDB yang dikatakan paling besar. Rekod skandal ini perlu dibersihkan dengan menghadapkan mereka yang teribat untuk dihakimi kerana ini akan mengembalikan keyakinan pelabur-pelabur luar.
Sekiranya disabit keselahan, mereka perlu dipenjarakan sepertimana Anwar sendiri menerima hakikat beliau walaupun dalam kesnya ramai yang percaya beliau difitnah.
Pentadbiran berdasarkan undang-undang yang saksama perlu diperkasakan.
Korupsi di negara ini perlu dibanteras tidak mengira siapa yang terlibat.
Inilah ajaran setiap agama yang perlu dijadikan panduan kepada pemimpin-pemimpin negara.
Rekod diskriminasi terhadap agama dan bangsa lain juga perlu diperbaiki terutama sekali oleh ahli-ahli politik yang sering melaungkan slogan seperti Satu Malaysia, Keluarga Malaysia dan Malaysia Madani.
Sekiranya tidak, betapa banyak protes yang dibuat, negara Sweden tidak akan beri perhatian sepenuhnya kepada Malaysia.
Sementara itu, ketahui bahawa insiden seumpama ini akan terus berlaku. Sebelum ini di Perancis, hari ini di Sweden, entah di mana pula akan berlaku insiden yang sama.
Rakyat Malaysia perlu terus membawa negara ini ke arah keharmonian antara kaum dan agama untuk diteladani oleh negara-negara lain.
Comments
Post a Comment