Izinkan saya mengemukakan satu persoalan yang sukar saya jawab kepada seorang warga emas berusia 74 tahun yang permohonan kewarganegaraannya telah ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri. Untuk tujuan perbincangan ini, kita namakan beliau Encik Tan.
Walaupun Encik Tan dilahirkan di Singapura pada tahun 1952, iaitu sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan sebelum pembentukan Malaysia, beliau telah menetap di negara ini sejak berusia tiga tahun. Dalam erti kata yang sebenar, seluruh kehidupan beliau, identiti sosialnya, keluarganya, perniagaannya dan sumbangannya adalah berakar di Malaysia. Saya tidak faham bagaimana permohonan beliau di bawah Perkara 19(1) itu gagal diterima walaupun beliau selama ini telah melalui proses naturalisasi.
Seorang abang beliau juga pernah menghadapi masalah yang sama iaitu tidak mempunyai kewarganegaraan, namun telah berputus asa untuk meneruskan perjuangan mendapatkan status tersebut walaupun saya cuba menggalakkan beliau terus merayu. Hanya Encik Tan bersetuju mengemukakan rayuan sekali lagi kerana saya percaya bahawa dalam kerangka Malaysia MADANI, unsur ihsan, kemanusiaan dan keadilan tidak boleh dipisahkan daripada pentadbiran negara.
Ini khususnya apabila kita berhadapan dengan individu yang telah menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Malaysia sepanjang hayatnya. Encik Tan bukan sahaja membina kehidupan di negara ini dan negeri Selangor, malah berjaya membangunkan sebuah perniagaan daripada sebuah kedai perkakasan kecil kepada sebuah gudang pembekalan peralatan pembinaan di kawasan Taman Ehsan di mana beliau adalah pengarah pengurusan syarikat tersebut. Sepanjang tempoh itu, syarikatnya tidak pernah melarikan diri daripada tanggungjawab membayar cukai kepada negara.
Dalam menilai sesuatu permohonan kewarganegaraan, saya percaya faktor taat setia kepada negara seharusnya dilihat bukan sekadar melalui dokumen, tetapi juga melalui rekod kehidupan seseorang. Jika seseorang telah hidup hampir tujuh dekad di Malaysia dan tidak ada rekod jenayah mahupun ekstrimisme, dan menyumbang kepada pembinaan ekonomi negara, membayar cukai, membesarkan anak-anak yang menjadi warganegara Malaysia dan mematuhi undang-undang negara, maka apakah lagi bukti kesetiaan yang lebih besar daripada itu?
Saya percaya kepada cerita beliau kerana saya mengenali keluarganya. Ayah beliau merupakan seorang yang tegas dan berprinsip. Saya masih mengingati ketika saya berusia tiga atau empat tahun, ibu saya pernah dimarahinya hanya kerana menghadiahkan saya senapang mainan. Itu menggambarkan nilai integriti dan disiplin yang diterapkan dalam keluarga tersebut.
Ketika temuduga dijalankan, Encik Tan ditanya mengenai Yang di-Pertuan Agong dan nama baginda. Saya memahami keperluan kerajaan untuk memastikan pemohon mempunyai pengetahuan asas mengenai negara. Namun persoalan yang lebih besar ialah sama ada penilaian kewarganegaraan harus bergantung semata-mata kepada kebolehan menjawab soalan sedemikian, terutama bagi seorang warga emas yang hanya mendapat pendidikan sehingga peringkat Lower Certificate of Education (LCE).
Beliau mungkin tidak cemerlang dalam ujian bertulis, tetapi beliau telah membuktikan kecintaan dan kesetiaannya kepada Malaysia melalui tindakan dan pengorbanan sepanjang hayatnya. Bukankah semangat Perlembagaan Persekutuan juga menuntut agar keadilan dilaksanakan berdasarkan realiti kehidupan seseorang dan bukan semata-mata berdasarkan aspek teknikal?
Keluarga beliau turut mendapatkan surat pengesahan daripada Kedutaan Singapura yang menyatakan bahawa beliau bukan warganegara Singapura. Maklumat yang saya terima daripada seorang sepupu yang telah bersara daripada Polis Singapura juga menunjukkan bahawa jika Encik Tan cuba memohon kewarganegaraan Singapura pada hari ini, permohonannya hampir pasti tidak akan diterima kerana beliau telah menetap terlalu lama di Malaysia.
Dengan kata lain, beliau berada dalam keadaan yang amat luar biasa. Beliau bukan rakyat Singapura. Pada masa yang sama, beliau juga belum diiktiraf sebagai rakyat Malaysia walaupun hampir seluruh hidupnya berlalu di sini.
Lebih menyentuh hati, beliau mempunyai lapan orang cucu dan seluruh ahli keluarganya merupakan warganegara Malaysia. Hanya Encik Tan seorang yang masih berada di luar lingkungan kewarganegaraan negara yang dianggapnya sebagai tanah air sendiri.
Saya tidak menyalahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Malah, beliau telah berjaya menyelesaikan banyak kes yang melibatkan isu kewarganegaraan dan tanpa kerakyatan. Ini juga membuktikan bahawa beliau tidak bertindak bias kepada sesiapa pun, melainkan mengikut apa yang termaktub dalam Perlembagaan, dan semua yang kita baca dalam sosial media bahawa beliau memberi kewarganegaraan kepada ribuan rakyat China adalah hanya tohmahan. Saya menghargai usaha Menteri Dalam Negeri untuk menyelesaikan 40,000 kes yang tercicir selama ini.
Antara kes yang paling mengkagumkan saya ialah kes seorang pastor dari kaum Kenyah di Sarawak, di mana semua kredit penganugerahan status kewarganegaraan beliau diberikan sepenuhnya kepada Kerajaan Madani, terutama sekali kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Saifuddin Nasution, kerana telah bertungkus lumus berjumpa dengan Majlis Raja-Raja Melayu untuk diperkenankan oleh Majlis dalam usaha menyelesaikan satu masalah yang sudah berpanjangan selama 60 tahun ini.
Namun saya berada dalam dilema apabila ahli keluarga Encik Tan bertanya kepada saya mengapa kes beliau ditolak. Saya sukar memberikan jawapan yang memuaskan. Adakah beliau tergolong dalam kelompok manusia yang sepanjang hayatnya akan terus dianggap tidak berkewarganegaraan, bukan sebagai rakyat Singapura dan bukan juga sebagai rakyat Malaysia?
Perkara yang lebih penting ialah Perlembagaan Persekutuan sendiri menyediakan ruang bagi pemberian kewarganegaraan melalui pendaftaran dan naturalisasi kepada individu yang memenuhi syarat tertentu serta menunjukkan hubungan yang tulen dan berkekalan dengan negara. Kuasa budi bicara yang diperuntukkan kepada kerajaan melalui undang-undang kewarganegaraan bukan sekadar mekanisme pentadbiran, tetapi juga instrumen keadilan untuk menangani kes-kes luar biasa yang tidak dapat diselesaikan melalui pendekatan birokrasi biasa.
Sekiranya seseorang yang telah tinggal di Malaysia selama lebih 70 tahun, membayar cukai, membesarkan keluarga warganegara Malaysia dan tidak mempunyai kewarganegaraan lain masih gagal memperoleh pengiktirafan sebagai rakyat Malaysia, maka ramai yang akan bertanya apakah tujuan sebenar peruntukan naturalisasi diwujudkan dalam Perkara 19(1) di bawah Perlembagaan Persekutuan?
Pada usia beliau sekarang, pemberian kewarganegaraan mungkin tidak akan mengubah kedudukan ekonominya secara ketara. Namun ia akan memberi ketenangan jiwa, maruah dan rasa memiliki yang akhirnya diiktiraf oleh negara yang telah beliau anggap sebagai rumah sepanjang hayatnya.
Saya juga mengetahui beberapa kes lain yang masih tertangguh. Jika kita hanya bergantung kepada tafsiran birokrasi yang ketat, golongan seperti ini akan terus tercicir.
Sebagai contoh, seorang kanak-kanak telah ditemui oleh polis kira-kira 30 tahun lalu berkeliaran di kawasan Semenyih tanpa ibu bapa atau dokumen pengenalan diri. Oleh sebab asal-usulnya tidak dapat dipastikan, status kewarganegaraannya juga tidak dapat ditentukan. Beliau kemudiannya dibesarkan di rumah kebajikan The Shepherd's Centre di Semenyih.
Sekiranya individu seperti ini terus dinafikan kewarganegaraan, kita perlu bertanya secara jujur: apakah kesalahan yang telah dilakukannya? Dia tidak memilih untuk dilahirkan tanpa dokumen. Dia tidak memilih untuk ditinggalkan. Namun akibat keadaan yang berada di luar kawalannya, seluruh masa depannya boleh terjejas.
Akhirnya, saya berharap agar kes Encik Tan dapat dilihat bukan semata-mata sebagai satu fail permohonan, tetapi sebagai kisah seorang manusia yang telah menghabiskan hampir seluruh hidupnya di Malaysia. Beliau telah mengharungi pelbagai cabaran dengan bantuan keluarga dan masyarakat sekeliling. Beliau hidup, bekerja, membayar cukai dan menyumbang kepada negara seperti rakyat Malaysia yang lain.
Sekiranya suatu hari nanti beliau menerima sijil kewarganegaraan Malaysia, kegembiraan itu bukan sahaja milik beliau dan keluarganya. Ramai rakyat Malaysia akan turut bergembira kerana mereka melihat bahawa negara ini masih mempunyai ruang untuk belas ihsan, keadilan dan kebijaksanaan dalam melaksanakan undang-undang.
Bukankah itulah juga semangat sebenar Malaysia MADANI: memastikan bahawa di sebalik peraturan dan prosedur, kita tidak pernah kehilangan kemanusiaan?
Comments
Post a Comment